UMW Aerospace Pengkitirafan Pembekal Terbaik: Rolls-Royce

UMW Aerospace telah menerima anugerah “Trusted to Deliver Excellence Award” daripada Rolls-Royce pada tahun 2018.

UMW Aerospace Pengkitirafan Pembekal Terbaik: Rolls-Royce
Photo: UMW Aerospace

KUALA LUMPUR, 25 Jun -- UMW Aerospace Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh dalam Kumpulan UMW, telah dianugerahkan dengan “Supplier Best Practice Award” di Majlis Persidangan Pembekal Global Aeroangkasa Rolls-Royce 2022 di United Kingdom baru-baru ini.

”Supplier Best Practice Award” ini mengiktiraf pembekal dengan kualiti yang baik, termasuk memberikan fokus terhadap penambahbaikan proses bagi operasi dan pengoptimuman kos yang berterusan serta komitmen mereka terhadap kerosakan sifar.

Kriteria bagi anugerah tersebut juga termasuk menunjukkan penglibatan dan komitmen proaktif dalam memanfaatkan Pelan Penglibatan Pembekal untuk memacu prestasi, kadar kesediaan dan perancangan yang mantap, serta penggunaan teknologi baharu.

UMW Aerospace Tier 1

UMW Aerospace adalah satu-satunya syarikat tempatan yang menjadi pembekal Tier 1 kepada Rolls-Royce.  Pada Ogos 2015, UMW Aerospace telah menandatangani kontrak 25+5 tahun dengan Rolls-Royce untuk mengeluarkan dan memasang selongsong kipas untuk enjin Trent 1000 dan Trent 7000.

Berpusat di UMW High-Value Manufacturing Park di Serendah, UMW Aerospace berjaya menyerahkan selongsong kipas yang pertama untuk enjin Trent 1000 pada November 2017 diikuti dengan penyerahan selongsong kipas sulung untuk enjin Trent 7000 pada Oktober 2020.

Walaupun agak baharu dalam industri aeroangkasa, komitmen UMW Aerospace terhadap kualiti dan kecemerlangan telah membawanya kepada pelbagai pengiktirafan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.  UMW Aerospace telah menerima anugerah “Trusted to Deliver Excellence Award” daripada Rolls-Royce pada tahun 2018.

Pada tahun 2021, UMW Aerospace turut disenaraikan di dalam Kumpulan Pembekal Berprestasi Tinggi Rolls-Royce, atau dikenali sebagai “Rolls-Royce’s High Performing Supplier Group”, di mana ia berjaya kekalkan pada tahun 2022.  Di samping itu, UMW Aerospace berusaha untuk mempertahankan tahap piawaian keselamatan yang terbaik dan UMW Aerospace berjaya mencapai rekod keselamatan yang luar biasa selama 2,152 hari tanpa kemalangan industri atau Sifar LTI.

Business News
Businessnews.com.my is a business news and corporate news site based in Kuala Lumpur, Malaysia. We give our readers the right picture of what is happening in the business community globally. Previously known as Worldfuturetv.com we have rebranded.

Pencapaian cemerlang

Dengan pengiktirafan pencapaian cemerlang UMW Aerospace ini, Datuk Arham Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia berkata, “Kerajaan komited sepenuhnya dalam membangunkan industri aeroangkasa di Malaysia dan kami berbangga dengan pengiktirafan Rolls-Royce’s Supplier Best Practice Award yang diterima oleh UMW Aerospace.  

“Pengiktirafan ini bukan sahaja menyerlahkan UMW Aerospace tetapi menonjolkan keupayaan dan dedikasi cemerlang industri dalam memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh OEM untuk kualiti dan prestasi.”  

Penghargaan seperti ini membuktikan Malaysia sememangnya lokasi yang ideal untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi industri aeroangkasa di rantau Asia-Pasifik, katanya.

”Melalui Rancangan Malaysia Kedua Belas dan Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030, kami terus berusaha untuk meletakkan Malaysia sebagai negara aeroangkasa nombor satu di Asia Tenggara.  

”Ini adalah sebahagian daripada usaha yang lebih luas untuk mencapai Aspirasi Pelaburan Nasional yang menekankan Matlamat Pembangunan Mampan, atau Sustainable Development Goals dengan memperuntukkan aeroangkasa sebagai salah satu sektor tumpuan utama untuk pembangunan dan tarikan pelaburan.”

Kapasiti untuk berkembang

Turut meraikan kejayaan UMW Aerospace ini, Naguib Mohd Nor, Presiden Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia menambah, “Malaysia semakin memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan aeroangkasa global, dengan lebih banyak kapasiti untuk berkembang.

”Untuk keperluan keupayaan berteknologi tinggi apabila berurusan dengan bahagian aeroangkasa, pengiktirafan ini membuktikan penekanan yang diberikan oleh UMW Aerospace terhadap kualiti dan kecemerlangan.  Penglibatan dan pembangunan yang lebih daripada pemain tempatan, dengan fokus utama terhadap inovasi adalah penting untuk menjadikan negara lebih berdaya saing dalam sektor aeroangkasa.”

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Berhad, Dato’ Ahmad Fuaad Kenali berkata, “Kami berbesar hati dan rasa rendah diri dengan pencapaian ini.  Komitmen kami yang tidak berbelah bahagi terhadap produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi telah diiktiraf oleh Rolls-Royce.  

”UMW Aerospace telah membuktikan dirinya sekali lagi sebagai pemain yang bereputasi dalam industri aeroangkasa berdasarkan piawaian yang tinggi dalam tempoh yang singkat.  

”Kami percaya pencapaian ini akan meletakkan UMW Aerospace pada kedudukan yang baik untuk mengambil bahagian dalam projek masa hadapan Rolls-Royce serta meneroka peluang lain dalam industri aeroangkasa.  Kami percaya dengan pencapaian ini juga dapat membuktikan Malaysia berpotensi untuk menjadi hab utama bagi industri aeroangkasa.”