Pengecualian Cukai Jualan Kenderaan Penumpang: Tarikh Akhir Kekal 30 Jun

Sebanyak 264,000 unit kenderaan yang ditempah di dalam tempoh pengecualian ini masih belum siap pemasangan dan tidak dapat dibekalkan kepada pembeli

Pengecualian Cukai Jualan Kenderaan Penumpang: Tarikh Akhir Kekal 30 Jun

Kementerian Kewangan hari ni berkata pengecualian cukai jualan untuk kereta penumpang termasuk termasuk MPV dan SUV dan kenderaan penumpang import atau CBU akan berakhir pada Jun 30 tahun ini.

"Bagi mengekal dan meningkatkan momentum permintaan dan jualan kenderaan penumpang yang terjejas akibat pandemik COVID-19, Kerajaan telah memperkenalkan pengecualian sepenuhnya cukai jualan ke atas kenderaan penumpang (termasuk MPV dan SUV) pemasangan tempatan dan 50 peratus pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang import (CBU) sejak 15 Jun 2020 dan akan berakhir pada 30 Jun 2022.

"Setakat ini, sebanyak 868,422 unit kenderaan telah terjual dan rakyat telah mendapat manfaat pengecualian cukai jualan berjumlah RM4.7 bilion," menurut kenyataan media daripada MOF.

Dengan pembukaan sektor ekonomi, sektor automotif telah kembali beroperasi seperti sedia kala. Walau bagaimanapun terdapat sejumlah permintaan yang masih belum dapat dipenuhi ekoran gangguan kepada rantai bekalan global.

Pada masa yang sama, seluruh dunia sedang menghadapi masalah kekurangan cip mikro semikonduktor yang digunakan secara meluas merentas beberapa industri termasuk industri automotif.

Berikutan permasalahan ini, sebanyak 264,000 unit kenderaan yang ditempah di dalam tempoh pengecualian ini masih belum siap pemasangan dan tidak dapat dibekalkan kepada pembeli.

"Sehubungan itu, bagi membolehkan pembeli yang membuat tempahan kenderaan sehingga 30 Jun 2022 terus menikmati insentif pengecualian cukai jualan ini, sukacita dimaklumkan bahawa tempoh pendaftaran kenderaan tersebut di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini dilanjutkan sehingga 31 Mac 2023."

"Lanjutan tempoh pendaftaran kenderaan ini merupakan satu penyelesaian titik tengah (midpoint solution) bagi mengimbangi kepentingan pengguna dan hasil cukai negara yang perlu ditingkatkan semula pasca-pandemik bagi memastikan kebajikan rakyat dan kesejahteraan ekonomi negara terus terpelihara, MOF berkata.