Mengekalkan Kelestarian Kawasan Ekopelancongan Di Taman Eko Rimba Chongkak

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Tourism Selangor Merasmikan Program CSR Baharu di Chongkak Park & Resort

Mengekalkan Kelestarian Kawasan Ekopelancongan Di Taman Eko Rimba Chongkak
Technologist Tuan Haji Hasrolnizam bin Shaari, Director of the Selangor Water Management Authority (LUAS) was giving a speech during a Donation Event at the Chongkak Park & Resort

SELANGOR, November 2022 – Chongkak Park & Resort yang merupakan kawasan pelancongan yang diuruskan oleh Tourism Selangor merupakan salah satu produk pelancongan eko yang ikonik di Negeri Selangor serta menjadi salah satu kawasan untuk program- program yang berkonsepkan CSR khususnya program berbentuk penjagaan alam sekitar.  

Satu Majlis Sumbangan Penyerahan Tong Sampah di Chongkak Park & Resort telah dijalankan, yang merupakan inisiatif CSR daripada pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Majlis ini telah disempurkan oleh Yang Berusaha, Technologist Tuan Haji Hasrolnizam bin Shaari S.I.S, Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan turut melibatkan kakitangan daripada LUAS dan Tourism Selangor.

Melalui inisiatif ini, sebanyak 10 unit tong sampah telah disumbangkan oleh pihak LUAS sebagai salah satu usaha menambahbaik fasiliti sedia ada di Chongkak Park & Resort. Selain mewujudkan kesedaran di kalangan para pengunjung untuk membawa sampah pulang, pihak Tourism Selangor juga mewujudkan kawasan pembuangan sampah yang kondusif bagi menjaga kebersihan di sekitar kawasan Chongkak Park & Resort.

Ekopelancongan merupakan antara segmentasi pelancongan utama yang menjadi pilihan para pelancong di negeri Selangor.

Terdapat beberapa kawasan yang menjadi tumpuan pelancong seperti taman-taman eko rimba dibawah seliaan Tourism Selangor dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor seperti Taman Eko Rimba Kanching, Taman Eko Rimba Sungai Tekala, Taman Eko Rimba Komanwel dan banyak lagi. Selain menjadi destinasi percutian bersama keluarga, taman-taman eko rimba ini juga menjadi kawasan untuk menjalankan aktiviti berkonsepkan CSR, Voluntourism bagi memupuk semangat menjaga alam sekitar serta kelestarian kawasan hijau di Negeri Selangor.

Menurut Ts Tuan Haji Hasrolnizam bin Shaari, Pengarah Lembaga Urus Air Selangor, semua agensi berkaitan sentiasa komited untuk memastikan penguatkuasaan terhadap sungai-sungai negeri dilakukan melalui tindakan pencegahan, pemantauan, kawalan dan punitif. Inisiatif-inisiatif kesedaran juga dibangunkan seperti yang sedang dilaksanakan oleh LUAS iaitu Inisiatif Friends of Rivers (FOR) Negeri Selangor.

Mr. Abdul Rahman bin Muhd ​​Sedek, Assistant Director of the Department of Minerals and Geosciences for Selangor and Federal Territories gave a briefing regarding the Gombak Hulu Langat Geopark project to the participants and guests

Inisiatif adalah langkah pemerkasaan komuniti (community empowerment) berkenaan peranan masyarakat di dalam pemeliharaan dan pemuliharaan sungai selain meningkatkan kebertanggungjawaban masyarakat terhadap kepentingan sungai.

Tourism Selangor dalam satu kenyataan berkata, pelbagai inisiatif telah dijalankan bagi mengekalkan kelestarian kawasan ekopelancongan di Selangor seperti pelaksanaan Projek Gombak-Hulu Langat (GHL) Geopark.

Projek ini merupakan salah satu usaha inovatif dalam mengenalpasti kawasan geotapak yang berpotensi serta mempunyai kepentingan geologi. Ini melibatkan kawasan seluas 112,955 hektar yang terdapat di 2 daerah iaitu di daerah Gombak sebanyak 13 geotapak serta Hulu Langat sebanyak 7 geotapak.

Usaha yang telah dijalankan bagi memelihara kawasan pelancongan yang terdapat di negeri Selangor, terutamanya kawasan tumpuan pengunjung tempatan adalah selaras dengan kempen Nak Bercuti, Pusing Selangor Dulu! Iaitu sebuah kempen pemasaran pelancongan domestik oleh Tourism Selangor. Kempen ini bertujuan menjadikan negeri Selangor sebagai sebuah destinasi pelancongan pilihan utama dalam negara.

Program ini turut disertai oleh Yang Berusaha, Tuan Abdul Rahman bin Muhd Sedek, Penolong Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Selangor dan Wilayah Persekutuan, dan telah memberikan taklimat berkenaan dengan projek Gombak Hulu Langat Geopark kepada para peserta dan tetamu yang menyertai program ini.