Bajet: MASAC Harap Peruntukan Untuk Kajian Perundangan Khas Jual Vape Berdaftar

Ahmad Lutfi berkata, MASAC mempunyai pengalaman hampir 10 tahun dalam isu penyalahgunaan dadah mempunyai berpuluh pelbagai ahli gabungan yang mempunyai banyak kepakaran.

Bajet: MASAC Harap Peruntukan Untuk Kajian Perundangan Khas Jual Vape Berdaftar

KUALA LUMPUR 15 Feb – Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC) menyeru kepada Kerajaan agar diberi peruntukan khas di dalam Bajet 2023 bagi kajian lanjut ke arah mewujudkan undang-undang khas mewajibkan hanya vape yang diluluskan oleh kerajaan sahaja boleh dijual oleh para peniaga.

Presiden MASAC, Ahmad Lutfi Abdul Latiff berkata, kewujudan pelbagai jenama vape yang tidak melalui proses kelulusan betul telah menyebabkan adanya vape berperisa bahan terlarang seperti dadah wujud di dalam pasaran.

Keadaan ini kata beliau, mengakibatkan lebih ramai penagih dadah bermula menghisap dadah melalui penggunaan vape yang tidak berdaftar dengan Kerajaan dan seterusnya beralih kepada jenis dadah yang lebih berbahaya di masa hadapan.

Perundangan Khas

“Usaha mewujudkan perundangan khas menjual hanya vape yang berdaftar, mampu mengawal penggunaan bahan terlarang seperti dadah dari meluas penggunaannya terutamanya remaja dan seterusnya mampu mempertingkatkan hasil pendapatan Kerajaan dari cukai vape yang berdaftar.

“Ia sebagai usaha mewujudkan masyarakat Malaysia yang lebih sihat dan selamat dari kesan negatif penyalahgunaan bahan terlarang,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Lutfi berkata, MASAC mempunyai pengalaman hampir 10 tahun dalam isu penyalahgunaan dadah mempunyai berpuluh pelbagai ahli gabungan yang mempunyai banyak kepakaran.

Selain itu, pengalaman Majlis Tertinggi dan Majlis Eksekutif MASAC yang terdiri daripada pelbagai golongan profesional turut bersedia menjadi rakan strategik Kerajaan dalam merangka dasar pengurusan pusat-pusat pemulihan swasta bagi penagih atau keluarga yang mendaftar secara sendiri.

MASAC turut mengharapkan adanya dana disalurkan kepada NGO untuk mengadakan lebih banyak usaha sama bersama badan antarabangsa seperti Colombo Plan, World Health Organization dan lain-lain dalam usaha mempertingkatkan lagi kepakaran negara untuk menguruskan perihal penagihan dadah melalui partisipasi lebih besar dari masyarakat madani NGO selain badan Kerajaan sedia ada.

Gabungan

MASAC turut mempelawa mana-mana NGO yang berminat untuk bersama MASAC sebagai ahli gabungan.

Kini terdapat 43 ahli gabungan dari 11 buah negeri bersama MASAC, termasuk Persatuan Pengasih Malaysia, Rumah Al-Hijrah, Pusat Pemulihan Dadah Dan Akhlak Darul Munawarah, Rumah Lindungan Kasih Darul Naim, Pertubuhan Rakan Sebaya Malaysia, Pertubuhan Pondok Inabah, Persatuan Klien AADK, Komuniti Intervensi Dadah Malaysia (Komited), Victory Life Training Centre, Solace Asia, Drug Free Malaysia, Life Zone Drug Rehabilitation Centre, Persatuan Kebajikan Bekas Penghuni Pemulihan Malaysia (Prokim), Persatuan Kebajikan Darul Islah Malaysia, Pusat Rawatan Darul Islah, Pusat Rawatan Pemulihan Dadah Bela Insan, Rumah Sahabat, Pondok Inabah Remaja 2 dan lain-Lain.

Revolutionary Electric Vehicle Conference Launches in Malaysia
The CEO of MIDA, Datuk Wira Arham Abdul Rahman, expressed his optimism in the growth of the EV industry in Malaysia and urged the industry players to increase the involvement of local companies