Libat Urus Bersama Semula Pihak Penting Sebelum RUU GEG Dibentang Semula

Saat ini, rakyat masih belum bersedia secara mental dan psikologikal serta masih berada dalam fasa pemulihan ekonomi dan polisi GEG yang hendak direalisasikan itu perlu menjalani beberapa siri kajian

Libat Urus Bersama Semula Pihak Penting Sebelum RUU GEG Dibentang Semula

Statement oleh Datuk Tun Faisal Ismail Aziz

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar telah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 sebelum ini untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

RUU tersebut turut memperuntukkan cadangan Generational End Game (GEG) atau generasi penamat yang tidak membenarkan individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya daripada mengguna atau menghisap sebarang produk merokok termasuk rokok elektronik.

RUU tersebut bagaimanapun telah dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) untuk diperhalusi dan bakal dibentangkan semula di Parlimen. Awal minggu ini, YB Khairy telah menyatakan bahawa JKPK telahpun siap memperhalusi RUU tersebut.

RTBA Malaysia Serah Memorandum Menolak Generation Endgame kepada MP
Dasar GEG melanggar Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kesaksamaan dan perlindungan sama rata di bawah undang-undang yang bermaksud bahawa undang-undang mesti beroperasi sama ke atas semua orang dalam keadaan yang sama

Namun, RUU dan dasar GEG ini masih belum mendapat sokongan daripada pelbagai pihak terutamanya pemegang taruh, terutama anak-anak muda yang terlibat dalam industri ekonomi, perundangan, pakar kesihatan dan juga pengguna.

Jelasnya, masih ramai dalam kalangan rakyat yang masih belum dapat menerimanya dan jika GEG dipaksakan tanpa mengambil kira sentimen rakyat ketika ini, sudah tentu ia tidak akan menggembirakan rakyat dan membuatkan mereka merasa bahawa kerajaan tidak mengambil kira pandangan mereka dalam pentadbiran negara.

Saya tidak menafikan usaha untuk menjadikan negara, sebuah negara bebas rokok adalah satu langkah yang baik dan tiada siapa boleh menidakkannya. Begitu juga usaha untuk menjadikan negara bebas daripada penggunaan dadah, arak, judi, pelacuran dan pelbagai kegiatan tidak sihat yang lain. Menghasilkan generasi masa depan yang berkualiti, sihat dan bermoral tinggi sememangnya merupakan impian setiap pemerintah di seluruh dunia.

GEG dan Pemulihan Ekonomi

Namun, pendekatan yang hendak digunakan untuk mencapai matlamat itu mesti bersesuaian dengan sentimen semasa rakyat negara itu sendiri, terutama pada saat rakyat masih belum bersedia secara mental dan psikologikal serta masih berada dalam fasa pemulihan ekonomi.

Polisi yang hendak direalisasikan itu perlu menjalani beberapa siri kajian dan penilaian mengambil kira kepakaran dari semua sudut dan bukan hanya keputusan satu pihak sahaja.

Apalah ertinya melaksanakan satu undang-undang yang perlu disemak semula di masa hadapan atau satu usaha yang akan menemui kegagalan seterusnya dimansuhkan kerana tidak berjaya. Bersedialah dengan satu RUU yang lengkap dan tidak boleh dipertikaikan, maka ia akan dengan mudah diluluskan di peringkat Parlimen.

Ia juga perlu memberikan peluang kepada setiap pihak untuk memberikan pandangan mereka melalui sesi libat urus terutamanya sektor peruncitan yang akan melaksanakan GEG tersebut. Masih ramai yang merasakan bahawa lebih banyak sesi libat urus perlu diadakan melibatkan kumpulan masyarakat yang terkesan, terutama dalam kalangan anak muda dan semua pihak yang terlibat dalam sektor peruncitan industri.

Saya yakin KKM boleh melakukannya dengan melibatkan semua pemegang taruh dalam perbincangan dalam menyusun RUU ini. Ramai bijak pandai tempatan yang sudi memberi buah fikiran berkaitan hal ini.

Idea-idea dan cadangan ini tidak boleh dipandang enteng kerana ia bukanlah omongan kosong tanpa sebarang bukti kukuh.

Bukan sahaja itu, kerajaan juga harus melihat apa yang rakyat mahukan dan bagaimana ia memberi impak kepada mereka.