LADA Menganjurkan Routes Asia 2024 Dengan MAHB, Tourism Malaysia
Pada acara Routes Asia itu, para peserta akan berpeluang untuk menjadi sebahagian daripada program yang menyeluruh dengan pertemuan bersemuka dan peluang jaringan

Februari 2023, Langkawi – Dalam usaha untuk membuka ruang kerjasama antara pemain industri untuk terus membina semula rangkaian laluan serantau dan memacu pertumbuhan pasaran masa depan, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) akan menganjurkan Routes Asia 2024 dengan kerjasama Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) dan Tourism Malaysia dari 3 hingga 5 Mac 2024.
Setelah memenangi bidaan untuk menjadi penganjur pada 14 Januari 2020 secara rasmi, sekatan wabak menyebabkan LADA terpaksa menangguhkan penganjuran acara tersebut. Walau bagaimanapun, masanya telah tiba untuk LADA diserahkan hak penganjuran pada Routes Asia 2023, yang akan berlangsung di Chiang Mai, Thailand dari 14-16 Februari 2023.
Sehubungan dengan pengumuman itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LADA Tuan Haji Ahmad Fuad bin Che Ani berkata, “Kami berbangga menjadi tuan rumah bagi acara berprestij ini dan diberi peluang untuk bekerjasama dengan Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) dan Tourism Malaysia.
“Acara ini menjadi bukti kepada kesungguhan kami dan kami ingin mengucapkan terima kasih kepada penganjur Routes Asia atas kepercayaan yang diberikan kepada kami untuk menganjurkan acara ini. Kami berharap acara ini akan menjadi platform kepada kami untuk mempamerkan keindahan Langkawi dan semua yang ditawarkannya kepada pengunjung dari seluruh dunia”.
Routes Asia
Pada acara Routes Asia itu, para peserta akan berpeluang untuk menjadi sebahagian daripada program yang menyeluruh dengan pertemuan bersemuka dan peluang jaringan yang membolehkan mereka mendapatkan gambaran industri yang lebih jelas. Acara ini memberi peluang kepada syarikat penerbangan, lapangan terbang, pihak berkuasa pelancongan dan pihak berkepentingan penerbangan di rantau ini untuk bersatu dan membincangkan strategi rangkaian dengan harapan dapat merangsang sambungan udara di seluruh rantau Asia Pasifik.
Semasa edisi tahun lepas di Da Nang, Vietnam, seramai 550 delegasi tempatan dan antarabangsa daripada 194 organisasi, termasuk 81 syarikat penerbangan, 79 lapangan terbang, 11 destinasi dan 23 penyedia perkhidmatan penerbangan dari Asia, Eropah, Timur Tengah dan Amerika Utara telah mengambil bahagian dalam acara Routes Asia itu. Jumlah ini diramal meningkat dengan ketara pada tahun-tahun akan datang.
“Kami berharap untuk menjadi tuan rumah kepada perancang industri lapangan terbang, syarikat penerbangan dan pelancongan dari seluruh dunia. Pertukaran idea dan buah fikiran daripada mereka boleh meningkatkan lagi pengetahuan kita semua. Kami akan bersedia apabila tiba masanya tahun depan untuk memberikan pemain industri ini satu platform untuk berhubung dan mempamerkan kecemerlangan mereka dalam melaksanakan strategi untuk masa depan industri perkhidmatan udara di seluruh Asia Pasifik,” tambah Tuan Haji Ahmad Fuad.
