Apex Healthcare Catat Peningkatan 83% Dalam Keuntungan Bersih

Syarikat turut merekodkan prestasi kukuh pada H1 TK2022, dengan peningkatan 58.9% dalam keuntungan bersih dan 17.4% dalam pendapatan berbanding H1 TK2021

Apex Healthcare Catat Peningkatan 83% Dalam Keuntungan Bersih

KUALA LUMPUR, 18 OGOS 2022Apex Healthcare Bhd telah mencatatkan lonjakan sebanyak 83.2% dalam keuntungan bersih kepada RM23.49 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2022 (S2 TK2022), berbanding RM12.82 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Pendapatan bagi suku tersebut juga menyaksikan peningkatan hingga 14.6% kepada RM209.25 juta daripada RM182.56 juta pada tahun sebelumnya.

Prestasi Apex Healthcare untuk S2 TK2022 telah menyumbang kepada prestasi yang kukuh bagi separuh pertama tahun ini, dengan catatan peningkatan sebanyak 58.9% dalam keuntungan bersih kepada RM39.26 juta untuk separuh pertama tahun kewangan 2022 (H1 TK2022), meningkat daripada RM24.7 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2021 (H1 TK2021).

Pendapatan untuk enam bulan pertama 2022 meningkat 17.4% kepada RM425.17 juta, berbanding RM362.04 juta pada tahun sebelumnya.

GDP Does Not Reflect The Multidimensional Nature of Development
GDP is not, on its own, an adequate instrument to measure a country’s development and the nation’s economic condition, says the analyst

Syarikat mengaitkan prestasi kewangannya yang kukuh dengan pendapatan dan keuntungan operasi yang lebih baik daripada anak-anak syarikatnya, hasil daripada aktiviti pengguna yang semakin bertambah, lonjakan permintaan terhadap ubatan pernafasan dalam pasaran utama serta bahagian keuntungan selepas cukai yang meningkat dengan ketara daripada syarikat bersekutunya, Straits Apex Group Sdn Bhd (SAG).

Prestasi keuntungan daripada SAG untuk S2 TK2022 adalah RM7.2 juta, satu peningkatan ketara berbanding RM0.7 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada tahun lalu setelah tunggakan pesanan diselesaikan dengan segera selepas hasil pengeluaran kembali normal pada suku kedua.

Prestasi Yang Cemerlang

“Pemantapan teras dan kemampuan Apex Healthcare dalam memenuhi permintaan pasaran yang berubah-ubah membolehkan kami memberikan prestasi yang cemerlang sejak pandemik melanda.

“Kehadiran subvarian COVID-19 yang mencetuskan gelombang di peringkat global mendorong kami untuk terus berusaha keras dalam mengekalkan integriti rantaian bekalan.

“Kami amat menghargai komitmen para pekerja dan rakan kongsi yang bekerja tanpa lelah demi memenuhi peningkatan permintaan terhadap ubat-ubatan,” kata Dr Kee Kirk Chin, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Apex Healthcare.

Walau bagaimanapun, masih terdapat kelompangan dalam pasaran semasa terutamanya untuk beberapa preskripsi dan ubat belian kaunter bagi ubat batuk serta selsema.

“Syarikat berusaha dengan aktif dalam menangani kekurangan produk tersebut agar dapat meningkatkan ketersediaannya buat profesional penjagaan kesihatan dan pengguna dalam beberapa bulan yang akan datang,” tambahnya.

Selepas peningkatan terhadap prestasi kewangan H1 TK2022, Lembaga Pengarah Apex Healthcare mengumumkan dividen interim sebanyak 3.0 sen sesaham. Jumlah tersebut adalah bersamaan dengan peningkatan 20% berbanding dividen interim 2.5 sen yang diumumkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Tarikh kelayakan dividen interim adalah 6 September 2022 dan akan dibayar pada 15 September 2022.