Gagasan Belia: Akta GEG Bercanggah Perlembagaan Negara

RUU GEG memangsakan secara utamanya golongan miskin dan kanak-kanak, tanpa menyelesaikan faktor-faktor lain ketagihan rokok

Gagasan Belia: Akta GEG Bercanggah Perlembagaan Negara

RUU GEG akan menjadi satu-satunya undang-undang dalam sejarah negara yang digubal berdasarkan tahun lahir, bukannya umur. Maka RUU GEG bakal bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.


Menteri Kesihatan Malaysia, YB Khairy Jamaluddin telah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 untuk bacaan pertama dan bercadang untuk meluluskannya dalam sidang parlimen kali ini.

Hasrat atau usaha untuk mengurangkan perokok baru di Malaysia adalah dialu-alukan oleh seluruh rakyat Malaysia, namun pada sudut yang lain RUU yang baharu ini dilihat mampu membawa kemudaratan sekiranya diterima di dalam bentuknya yang sedia ada.

Kami percaya bahawa RUU Generasi Penamat (GEG) menghadapi beberapa permasalahan besar dari segi Hak Asasi dan Keperlembagaan.

RUU GEG memberikan kuasa terlalu besar dan luas kepada penguatkuasa, dan berpotensi disalahgunakan.

Percanggahan RUU dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi berkata, RUU berkaitan GEG berkemungkinan melanggar Perlembagaan Persekutuan. Beliau berpendapat GEG yang bertujuan melarang penjualan dan penggunaan produk tembakau termasuk vape kepada sesiapa yang lahir dari 1 Januari 2007 boleh dikatakan diskriminasi dan melanggar Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. Menurut beliau, RUU GEG perlu dilihat berbeza dengan undang- undang seperti umur perkahwinan, umur mengundi, dan lain-lain, kerana RUU GEG adalah larangan kekal berdasarkan tahun lahir.

Kami menggesa supaya pihak KKM serta PSSC GEG supaya melakukan perbincangan dengan Majlis Peguam Malaysia dan mengeluarkan laporan menyeluruh tentang isu keperlembagaan RUU GEG. RUU yang dicadangkan ini merupakan pelanggaran hak asasi tersebut yang amat ketara sekali kerana memberikan kuasa kepada pihak kerajaan untuk mendakwa sesetengah rakyat berdasarkan perbezaan tarikh lahir mereka semata-mata.

Harus ditekankan bahawa RUU GEG akan menjadi satu-satunya undang-undang dalam sejarah negara yang digubal berdasarkan tahun lahir, bukannya umur. Tidak salah untuk membawa semula RUU GEG sebagai sesuatu RUU Pindaan Perlembagaan, dari tergesa-gesa meluluskan rang undang-undang yang pasti dimatikan di mahkamah.

Utamanya memberikan kesan kepada golongan rakyat bawahan dan miskin

Secara amnya, RUU ini akan mengenakan hukuman dan denda yang amat tinggi terhadap perokok dan pemilikan produk rokok dan vape. Perkara 17.(2) RUU ini menyatakan bahawa mana-mana individu yang lahir selepas 1 Januari 2007 yang menghisap rokok atau menggunakan produk rokok, peranti merokok atau produk vape akan dikenakan denda. Walaupun denda dikurangkan dari RM5000 ke RM500, denda yang tinggi akan menyebabkan ramai orang, terutamanya golongan miskin, tidak dapat membayar denda tersebut lalu mereka akan terpalit dengan hukuman lain termasuk pemenjaraan. Ini juga boleh mengakibatkan pemenjaraan kanak-kanak. RUU ini juga tidak fokus kepada menyelesaikan faktor-faktor lain yang menyumbang kepada masalah ketagihan di kalangan masyarakat.

Antara faktor utama anak muda terjebak kepada masalah ketagihan rokok adalah akibat daripada situasi sosial dan ekonomi mereka. Situasi sosial ini menjadikan mereka cenderung menggunakan produk tembakau dan mengalami ketagihan bermula dari usia yang muda. Tanpa pendekatan yang lebih sedar terhadap situasi sosial dan ekonomi, yang merupakan penyumbang besar masalah ketagihan, secara tidak langsung RUU ini akan menghukum golongan masyarakat yang berada di strata rendah dari segi ekonomi dan sosial.

Memberikan kuasa terlalu besar dan luas kepada penguatkuasa, dan berpotensi disalahgunakan.

Selain denda yang tinggi, RUU ini juga memberikan kuasa yang terlalu luas dan besar kepada penguatkuasa yang diberikan kuasa oleh Ketua Pengarah Kesihatan. Antara kuasa yang diberikan adalah untuk:

Memberhentikan dan menggeledah kenderaan serta memeriksa apa-apa bagasi, bungkusan dan apa-apa bekas tanpa waran;
Memaksa akses kepada peranti dan komputer untuk mendapatkan maklumat, termasuk memaksa penyerahan kata kunci kepada peranti dan maklumat berkumputer;

Menggunakan kekerasan untuk memecah masuk ke mana-mana premis tanpa waran.

Kuasa yang terlampau luas dan besar ini akan membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa oleh penguatkuasa dan pada satu sudut berkemungkinan besar akan disasarkan kepada komuniti rentan dan golongan minoriti.

Kesimpulan

Kami melihat RUU ini sebagai regresif dan mempunyai banyak kelompongan yang perlu ditambah baik. Kami menuntut agar RUU ini disemak semula dan seharusnya dibawa untuk dibincangkan semula melibatkan pakar- pakar kesihatan awam, pakar-pakar Perlembagaan, pakar kanak-kanak serta pihak berkepentingan lain agar turut melihat kepada kesan kepada hak asasi manusia dan menepati konsep pengurangan mudarat sebelum diluluskan di Parlimen.

Nota:

Gagasan Belia merupakan sebahagian daripada CSO Platform for Reform, satu gabungan 102 badan-badan masyarakat madani yang memberi tumpuan terhadap perubahan institusi.