Agrobank Sokong Pertandingan Pertanian Pintar Di Perak

Pertandingan ini juga dilaksanakan bukan sahaja untuk melahirkan pelajar dan individu kreatif serta inovatif dalam menerapkan amalan 3R (Reduce, Reuse, Recycle)

Agrobank Sokong Pertandingan Pertanian Pintar Di Perak

SERDANG, SELANGOR - Agrobank mengumumkan pembabitan Bank tersebut dalam Pertandingan Edu Farming Sekolah dan Urban Farming Masjid 2022, satu inisiatif bersama Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Jabatan Pertanian Perak, Jabatan Pendidikan Perak Serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 pada 12 Ogos 2022, Jumaat.

Pelaksanaan pertandingan berkonsepkan mampan diri (self-sustain) ini merupakan satu platform bagi menarik minat generasi muda terutama pelajar sekolah dan juga komuniti masjid untuk memperkasakan aktiviti pertanian, seiring dengan slogan yang dikongsikan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad, "Tanam apa yang kita makan, makan apa yang kita tanam”.

Menurut Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, "Inisiatif oleh Kerajaan Negeri Perak ini pastinya amat selari dengan peranan dan aspirasi Agrobank sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) untuk terus mendukung komuniti Agro yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, bagi mempromosikan konsep pertanian lestari dan pintar, sekaligus menyokong usaha Kerajaan dalam menggalakkan pertanian bandar menerusi pemerkasaan “Dasar Kebun Komuniti Bandar."

WWF-Malaysia, CIMB Islamic Commit To Protect Fraser’s Hill Forest Complex
As a biodiversity hotspot, Lim said Fraser’s Hill Forest Complex is also an important water catchment area, where the headwaters of several rivers form

"Saya yakin dan percaya, inisiatif sebegini pastinya mampu menarik minat golongan muda terutamanya pelajar sekolah mahupun jemaah masjid untuk turut sama terlibat dalam aktiviti pertanian dan sekaligus mampu menjana ekonomi mikro bagi komuniti setempat di kawasan mereka," tambah Tengku Ahmad Badli Shah lagi.

"Oleh yang demikian, Agrobank amat berbesar hati untuk turut sama terlibat dan menyumbang hadiah wang tunai berjumlah RM18,000 bagi pertandingan ini bagi menggalakkan penglibatan lebih ramai peserta dalam menggalakkan lagi aktiviti pertanian pintar di bandar mahupun di luar bandar, bukan sahaja di negeri Perak, malah di negeri-negeri lain di seluruh Malaysia.”

Pertandingan ini juga dilaksanakan bukan sahaja untuk melahirkan pelajar dan individu kreatif serta inovatif dalam menerapkan amalan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) malah ia mampu memberikan galakan kepada mereka yang terlibat untuk memanfaatkan tanah atau ruang sedia ada khususnya bagi aktiviti pertanian.

Bagi Pertandingan Edu Farming Sekolah 2022, ia dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori A (Sekolah Menengah) dan Kategori B (Sekolah Rendah). Sebanyak 16 buah sekolah dari daerah Kinta Utara, Kinta Selatan, Kerian dan Perak Tengah telah terpilih untuk menyertai kedua-kedua kategori tersebut.

Manakala bagi Pertandingan Urban Farming Masjid 2022, pemilihan masjid akan ditentukan oleh pihak yang terlibat membabitkan empat buah daerah iaitu Kinta Utara, Kinta Selatan, Kerian dan Perak Tengah.